Rabu, 22 Disember 2010

ANEKA PETUA


Petua 1: Halia Atasi Masalah Kembung Perut


Ambil sebuku halia yang sederhana besar, dibersihkan dan ditumbuk sedikit. Masukkan ke dalam gelas dan tuang air panas mendidih lebih kurang setengah gelas. Tutup permukaan gelas selama 10 minit, tapis dan jadikan dua bahagian. Sebahagian anda minum dan sebahagian simpan di dalam peti sejuk. Sekiranya masih terasa kembung lagi, ulang meminumnya hingga perut berasa lega. Selamat mencuba.


Petua 2 : Ubat Sakit Bengkak Tekak


Jika anda mengalami sakit tekak, memang sukar untuk menelan terutamanya makanan yang keras. Untuk merawatnya, ambilkan air didih nasi sebanyak satu cawan. Minumlah air didih nasi itu, lakukan cara ini beberapa kali sehingga rasa perit dan sakit kerongkong anda sembuh dengan izin Allah.


Petua 3 : Putih Telur Penghilang Parut


Jika pada tubuh anda terdapat bekas luka ataupun parut yang sukar hilang, cubalah gunakan putih telur ayam kampung. Setiap kali hendak tidur, sapukan putih telur tersebut pada parut luka itu. Lakukan secara terus-menerus. Insya Allah parut luka anda akan hilang.


Petua 4: Ubat Kencing Tak Lawas.


Bagi mereka yang menghadapi masalah kencing tidak lawas atau tanda-tanda awal ada penyakit batu karang, ambil beberapa biji lobak putih dan batang kangkung dengan akarnya sekali. Bersihkan kedua-dua bahan ini dan rebus pada kadar air yang sederhana banyaknya. Apabila sudah cukup masak, angkat dan biarkan air menjadi suam barulah diminum. Petua ini selain dapat melawaskan kencing, juga dapat memecahkan batu karang yang tidak serius.


Petua 5:Hilangkan Hanyir Ikan Darat


Untuk menghilangkan hanyir ikan darat sebenarnya agak sukar berbanding ikan laut. Cara berkesan untuk mencucinya ialah dengan mengambil beberapa helai daun serai dan sedikit asam jawa. Ramas keduanya dan gaul bersama ikan. Perapkan beberapa minit kemudian bilas dengan air bersih. Pasti ikan tidak hanyir lagi.


Petua 6: Khasiat Daun Jambu Batu


Kalau anda terkena sakit perut, buang-buang air, perut kembung, masuk angin dan cirit-birit; Ambillah beberapa helai daun jambu yang masih muda (pucuknya). Mamah daun jambu itu dengan garam lalu airnya ditelan atau daun jambu biasa yang masih muda dimamah halus dan ditelan. Insya Allah mujarab dan sakit perut anda akan hilang dengan sendirinya.


Petua 7 : Tumit Kaki Tidak Pecah.


Bagi anda yang menghadapi masalah ini, ambil sebiji buah betik yang masih muda. Hiriskan di bahagian hujungnya agar mengeluarkan getah. sapukan getah betik tersebut ke bahagian tumit yang pecah. Lakukan berulang kali beberapa hari jika ingin mendapatkan hasil yang memuaskan.


Petua 8 : Khasiat Daun Turi


Daun turi boleh dibuat masakan sama ada dimasak lemak atau ditumis. Insya Allah amat baik untuk mellawaskan pembuangan air kecil, berfungsi untuk mencuci buah pinggang dan amat baik untuk menerangkan penglihatan mata.


Petua 9: Segarkan Urat Saraf Dengan Daun Serai


Jika anda terlalu banyak kerja anda tentu berasa letih dan lesu. Untuk mengembalikan kesegaran urat saraf anda boleh gunakan daun serai, daun pandan dan daun nangka yang direbus. Biarkan air tersebut menjadi suam kuku. setelah itu bolehlah anda gunakan untuk mandian selama tiga hari. Anda akan dapati badan yang letih lesu itu akan bertenaga kembali.
Petua 10: Hilangkan Parut Jerawat
Ambil beberapa helai daun sireh, kemudian celur dalam air panas. Selepas itu gosokkan di bahagian muka yang berparut. Insya Allah dalam masa dua minggu parut di muka akan beransur-ansur pulih.
Petua 11 : Ubat Sakit Gigi
Untuk menghilangkan sakit akibat gigi berlubang, anda boleh mencuba petua ini. Ambil sedikit gambir Sarawak yang telah dicairkan dan bubuh di dalam lubang gigi yang sakit. Biarkan seketika, Insya Allah sakit gigi akan hilang. Selamat mencuba.
Petua 12 : Tiada Lagi Karat Gigi
masalah gigi berkarat merunsingkan anda. Hilangkannya dengan mengambil 2cm arang kayu yang sudah dibersihkan. Campurkan dengan dua cubit garam kasar dan tumbuk sampai halus. Sapukan arang tadi pada berus gigi dan gosok gigi seperti biasa. Kemudian bilas dengan menggosok ubat gigi untuk menghilangkan arang yang terlekat di celah-celah gigi. Lakukan dua kali seminggu, insya Allah anda akan dapat menikmati senyuman yang menawan tanpa karat dan kuning.
Petua 13: Suburkan Rambut
Ambil dua biji telur dan pukul hingga sebati. Kemudian sapukan sebatian ini di kulit kepala dengan menggunakan hujung jari. Urut sekurang-kurangnya lima minit dan biarkan ia meresap ke dalam kulit kepala. Kemudian bilas dengan air suam. Ulangi langkah ini setiap malam, insya Allah kulit kepala yang subur akan membawa kesan pertumbuhan rambut yang lebih sihat.
Petua 14: Masalah Senggugut
Selepas menggosok baju, ambil seterika yang masih panas dan letakkan di atas perut sambil baring. Pastikan perut anda dialas dengan kain yang tebal untuk mengelakkan melecur. Biarkan panas seterika itu menyerap sehingga terasa di perut anda. Petua ini juga sesuai untuk wanita selepas bersalin kerana kaedah ini sama seperti bertungku. Ulangi kaedah ini setiap kali selepas menggosok baju walaupun bukan di dalam haid. Selamat mencuba.


Petua 15 : Terkena Besi Panas

Apabila terkena besi panas, jangan basuh dengan air sejuk kerana ia akan menjadikan kulit menggelembung. Untuk mengubatinya, ambil secamca besar garam dan bancuh dengan sedikit air sejuk. Kemudian air garam itu disapu pada tempat yang terkena panas itu. Insya Allah kulit tidak akan menggelembung dan cepat sembuh.




Tiada ulasan: